Indah sekali si kain kasah Bawa ke Kuala Pulau Bali Esok hari kita berpisah Bila pula nak jumpa kembali?
Sungguh indah cantiknya rupa Gadis ayu leka menampi Apa digundah saat berjumpa Kita bertemu di dalam mimpi
Gadis ayu leka menampi Padi ria di pinggir kota Kalau bertemu di dalam mimpi Bila terjaga tentu derita
Anak dara di dalam kota Memakai kebaya menjemur ikan Bila terjaga akan derita Bolehkah saya tolong hiburkan?
Anak muda membawa obor Anak dara membawa antan Bagaimana pula adik nak hibur Seorang utara seorang selatan
Baju kebaya dihias perada Pakaian Palembang si gadis sunti Saya cuma bergurau senda Kenapa abang merasa hati?
Nampaknya kembang si bunga melati Hendak dibawa ke Singapura Memanglah abang merasa hati Abang tak sangka adik berpura
Membawa seroja ke Inderapura Menempuh gelombang ke Surabaya Memang sengaja hamba berpura Kerana abang kusangka buaya
Teratai berbunga di tengah paya Hiasan bergaya di Gunung Daik Jangan menghina kepada buaya Cap buaya mutunya baik
Ketika air sedangnya naik Jangan dirungkai si rakit balak Masakan buaya mutunya baik Sedangkan bangkai tak pernah ditolak
Indah bunga kembang setangkai Subur pohonnya berbaja garam Memang buaya tak tolak bangkai Dari busuk baik dibaham
Buah tembikai buah berangan Buah asam si limau purut Memakan bangkai jangan sembarangan Tersalah baham senak perut
Hendak menjaja si limau purut Dijaja pula di Pekan Beruas Biarlah buaya senak perut Asalkan hatinya menjadi puas
Menanam halia bersama lengkuas Lengkuas dibawa dari Kelantan Diturut apa nafsu yang buas Mungkin tersasul ke Tanjung Rambutan
Bersahut-sahutan si burung kenari Di pohon seroja kepala titi Ke Tanjung Rambutan memang kucari Tak payah kerja bersenang hati
Bunga angsana sedang nak kembang Mari suntingkan si anak dara Sepuluh pemuda seperti abang Pincang masyarakat rosaklah negara
Jalan bergaya di tanah rata Sambil membawa si buah nanam Umat negara berjuta-juta Sepuluh pemuda pergilah jahanam
Anak dara termengah-mengah Menumbuk lada bergulai lemak Apa cara untuk mencegah Para pemuda berambut semak?
Menjeling manja duduk berbeka Melihat obor di Kota Batu Mudah saja mengajar mereka Cuba taburkan ibu kutu
Buah pinang kait berkayu Mari jatuh di atas bata Bila terkenang hatiku sayu Orang jauh kedekut berita?
Mencari remis pakai kelumbung Sambil menjeling menggoda hati Mengapa mengemis teman nan sombong Kawan keliling ramai menanti
Bunga bersulam begitu rapi Hendak berdandan lepas berbaring Siang malam termimpi-mimpi Hingga badan kurus kering
Burung undan burung kedidi Terbang tajam ke pohon dudur Padanlah badan menjadi lidi 24 jam asyik tidur
Menjaja papaya di dalam raga Ke Pekan Cina berjalan laju Di kiri buaya di kanan naga Hala mana hendak dituju?
Paduka Ratu memburu rusa Menuju rakit tepi pangkalan Kalau begitu keadaan memaksa Tempahlah roket terbang ke bulan
Menahan lukah di air tenang Sambil berdiri di atas perahu Sudah bernikah ingin nak senang Sayang isteri masak tak tahu
Tentera Sekutu lari berkejar Menempuh badai air menderu Isteri begitu mesti diajar Mamak kedai jadikan guru
Ubi kentang kalau ditumis Campur tauge masaknya kari Minta berhutang bermuka manis Bila ditagih melari diri
Ke Kota Batu menjelang fajar Resah hasrat membawa tekad Orang begitu mudah diajar Tulis surat cara poskad
Pergi berburu di hujung ladang Letih berjalan sakit kaki Penyanyi baru selalu berdendang Bersuara perempuan tetapi lelaki
Kelapa puan di dalam tangki Hendak dijaja Kampung Pandan Suara perempuan tetapi lelaki Namakan saja si Pop Pondan
Anak dara pergi membasuh Sambil ketawa bertolak-tolakan Kalau negara diserang musuh Badan dan nyawa saya serahkan
Dua sejoli riang ketawa Ketika senja di Tanjung Rhu Bodoh sekali menyerah jiwa Muntahkan saja dengan peluru
Tuan Kadi dari Yunani Datang menghadap di istana Mengkalis Rasuah terjadi di sana sini Tetapi tertangkap si ikan bilis?
Ke pekan sehari membeli rokok Sambil menjaja si buah limau Yu dan pari boleh dibekuk Gunakan saja pukat harimau
Ribut berputar kemarau panjang Menerbangkan atap lintang-pukang Usah digentar untuk berjuang Hamba tetap berdiri di belakang
Berdayung sampan pergi ke hulu Belayar tongkang ke Inderagiri Orang hadapan lingkup dahulu Tuan di belakang cabut lari
Malam hari di Kota Lukut Majlis berdikir penuh keriangan Bukan lari kerana takut Tapi berfikir mengatur rancangan
Indah berwarna arca diukir Ternyata molek andai dibasuh Macam mana hendak berfikir Kepala dah kemek digodam musuh |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar