Apa guna kepuk di ladang Kalau tidak berisi padi Apa guna berambut panjang Kalau tidak berani mati
Guruh berdentum bumi bergegar Ayam jaguh sedang bersabung Jangan cakap sahaja berdegar Hulur senjata kita bertarung
Limau bentan di tepi tingkap Budak-budak melempar burung Harimau di hutan lagi kutangkap Inikan pula cicak mengkarung
Pudak bukan sebarang pudak Pudak tumbuh di tepi lombong Jalak buka sebarang jalak Jalak biasa menang bersabung
Anak Cina bersampan kotak Muatan sarat dengan ragi Biar retak bumi kupijak Kamu takkan kulepaskan lagi
Hang Jebat Hang Kasturi Budak-budak raja Melaka Jika hendak jangan dicuri Mari kita bertentang mata
Patah rotan tali bersilang Batang meranti rimbun berjejal
Langkah pahlawan di tengah gelanggang Berpantang mati sebelum ajal
Banyak batang tumbuh cendawan Cendawan kukur jalan ke huma Banyak orang mengaku pahlawan Sambutlah pukul tikam pertama
Putus sudah tali temberang Semasa belayar di sampan kotak Jangan berlagak jaguh yang garang Kepala sendiri nanti yang retak
Apa guna padi bukit Padi dibendang menabur bunga Apa guna hati sakit Mati bertikam termasyhur lama
Tebu bukannya bangkut Rama-rama terbang ke kuala Bukan kami kaki penakut Berani kami korbankan nyawa
Memang pahit buah peria Makanan orang pergi menjala Jikalau mengaku taat setia Bersamalah kita pertahan negara
Cik Embun orang berbidan Pandai mengurut sakit kepala Biar berkalang nyawa di badan Kedaulatan negara kupertahankan jua
Kalau mengail di lubuk dangkal Dapat ikan sepenuh raga Kalau kail panjang sejengkal Jangan lautan hendak diduga
Apa guna kepuk di ladang Kalau tidak berisi padi Apa guna keris di pinggang Kalau tidak berani mati
Adakah perisai bertali rambut Rambut dipintal akan cemara Adakah bisai tahu takut Kami pun muda lagi perkasa
Sampan kotak mengapa dikayuh Hendak belayar ke tanah seberang Patah kepak bertongkatkan paruh Pantang menyerah di tengah gelanggang
Air dalam bertambah dalam Hujan di hulu belumlah teduh Hati dendam bertambah dendam Dendam dahulu belumlah sembuh
Lemaknya nasi bergulai udang Lemak berbau santan kelapa Rela kumati berputih tulang Tidak kumahu berputih mata
Orang menyeberang gunakan titi Titi dibuat tinggi di atas Dalam telur lagikan dinanti Inikan pula sudah menetas
Jika terjumpa ular tedung Carilah buluh kayu pemukul Berani buat beranilah tanggung Tangan menjinjing bahu memikul
Perahu payang layarnya merah Belayar menuju arah utara Keris dipegang bersintukkan darah Adat pahlawan membela negara
Sungguh cantik bunga yang merah Malangnya lama tidak disirami Kalau jasadku rebah ke tanah Rela aku disemadikan di sini
Telur itik dari Senggora Pandan terletak dilangkahi Darahnya titik di Singapura Badannya terhantar di Langkawi
Anna Abadi pergi ke Lukut Bawa pulang kacang panjang Sedikit pun hamba tak takut Kalau berani turun gelanggang |
Tidak ada komentar:
Posting Komentar